SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati 
menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari 
kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. 
Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan 
manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan
Dalam erti kata lain, 
seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga 
meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah 
yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
2. Banyak bercakap
Allah
 mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah 
memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu
 menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
3. Suka marah-marah
Kemarahan
 boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. 
Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan 
perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.
4. Hasad dengki
Seseorang
 yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan 
atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain 
adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. 
Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat 
Muslim).
5. Kedekut & bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan 
lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab 
(menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan
 kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan 
membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
7. Cintakan dunia
Terlalu
 menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan 
ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu
 akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah 
kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Ego atau sombong
Sifat
 membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak 
perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang 
bersifat maha besar.
9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan 
ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang 
dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah
 diselaputi perasaan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia
 jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. 
Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini 
jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi 
dengan kejujuran dan keikhlasan.
Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasukdalam kategori melakukan dosa besar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar